6.4.15

Mengapa sesebuah istilah bertahan dan pupus?


Sesebuah istilah bertahan apabila masyarakat tetap menggunakannya. Istilah 'syurga' dan 'neraka' yang masing-masing berasal daripada 'swarga' dan 'naraka' di dalam Sanskrit, adalah antara yang masih kekal kita gunakan. Istilah tersebut mula wujud semenjak fasa Bahasa Melayu Kuno yang berlaku ketika Alam Melayu masih lagi di bawah pengaruh Hindu.

Apabila bahasa kita memasuki fasa Bahasa Melayu Klasik yang berlaku setelah Islam menebarkan sayapnya di Nusantara, istilah 'jannah' dan 'jahanam' mula dipopularkan. Namun sehingga sekarang apabila kita berbicara tentang konsep kehidupan sesudah mati, istilah 'neraka' dan 'syurga' yang jauh lebih berusia itu adalah yang paling relevan di hati penutur Bahasa Malaysia.

Jika Bahasa Inggeris mengalami zaman puncaknya ketika era Shakespeare, maka bahasa kita pula meniti zaman emasnya ketika fasa Bahasa Melayu Klasik. Di era inilah munculnya karya-karya sastera Melayu terbaik seperti Sejarah Melayu, Bustanus Salatin dan Hikayat Amir Hamzah. Untuk memahami seni karya tersebut dalam acuannya yang asli adalah agak merumitkan. Ia memiliki struktur ayat yang janggal kepada penutur moden dan dihiasi pula dengan banyak istilah yang sudah tidak kita gunakan lagi.

Apa yang cuba saya sampaikan ialah bahasa sentiasa berevolusi. Lenggok bahasa yang digunakan pada hari ini akan jauh berbeza daripada apa yang bakal digunakan oleh manusia pada tahun 2500. Sebahagian istilahnya pula akan pupus pada tahun tersebut apabila masyarakat beransur-ansur tidak menggunakannya lagi.

Katakanlah istilah 'skodeng' dan 'poyo' pertama kali digunakan ketika fasa Bahasa Melayu Kuno; lalu ditakdirkan bangsa kita memilih untuk terus menuturkannya. Tentu tidak rasional apabila manusia yang hidup beratus-ratus tahun selepas itu untuk mempersoalkan penggunannya.

Maka begitu jugalah dalam konteks kita pada hari ini. Apabila penutur Bahasa Malaysia semakin mempopularkan istilah 'skodeng' dan 'poyo', maka lama-kelamaan istilah itu sendiri akan jadi serasi dengan kita. Bila sudah serasi ia akan dimasukkan ke dalam kamus untuk diberikan definisi yang tepat dan ejaan yang piawai.

Pada 500 tahun yang akan datang, penutur Bahasa Malaysia di waktu itu akan menganggap 'skodeng' dan 'poyo' adalah antara khazanah istilah di dalam bahasa yang mereka tuturkan itu. Silap-silap haribulan pada tahun tersebut, ia juga akan dilabelkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagaisesuai digunakan untuk urusan formal.

Di samping itu, mereka juga akan terlepas pandang kepada suatu hakikat bahawa semasa sekalian istilah itu mula terapung di dalam masyarakat, mereka yang menuturkannya telah sewenang-wenangnya dilabel sebagai pelacur bahasa. Para penuduh ini sebenarnya adalah pejuang bahasa yang sangat tidak realistik kerana mereka lupa bahawa segala istilah wujud melalui 2 cara.

Pertama: Melalui peminjaman daripada bahasa asing. Ketahuilah bahawa masa yang berlalu akan menyebabkan sekalian istilah-istilah baru yang dipinjam itu akan menjadi serasi dan diterima. Jika tidak serasi, masyarakat sendiri akan menolaknya.

Hari ini kita gusar tentang penjajahan Bahasa Inggeris di dalam bahasa kita. Konon-kononnya imperialisme bentuk baru. Namun dalam masa yang sama kita masih selamba badak menggunakan istilah-istilah seperti almari, limau, garpu dan jendela yang terang-terang berasal daripada Bahasa Portugis. Eh mat, kenapa engkau masih menggunakan istilah-istilah tersebut? Bukankah ia sebuah syiar imperialisme Bahasa Portugis kepada bahasa kita yang berlaku sepanjang mereka terconggok di Melaka beratus tahun nan lampau?

Apabila Islam datang ke Tanah Melayu, bukankah para pedagang dan pendakwah berbangsa Arab juga telah melakukan imperialisme ke atas bahasa kita? Bukan sikit-sikit penjajahan yang dilakukan oleh Bahasa Arab ini. Pada hari ini, jarang orang mengkritik seorang ustaz yang menggunakan 'ana' dan 'anta' di dalam ceramahnya. Sebaliknya seorang guru Bahasa Inggeris yang sesekali tersasul dengan 'I' dan 'You' bila bercakap, sering dilihat sebagai orang Melayu yang mahu jadi mat saleh.

Sebagai nota tambahan, anaantaYou dan I ada terdapat di dalam Kamus Dewan. Begitulah adanya.
Kedua pula adalah secara organik: Sepertimana yang dihuraikan sejak awal tadi, ia langsung tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur bahasa asing. Bahasa kita perlu lebih diperkayakan lagi dengan istilah-istilah organik.

Penutup

Untuk sesebuah bahasa itu terus berkembang, tidak pupus dan terus dituturkan, maka kita wajib bersifat liberal. Jangan takut untuk bereksperimentasi dengan istilah-istilah organik dan pinjaman. Jika kita terlalu keras dalam proses kemasukan istilah baru, maka silap haribulan bahasa kita akan senasib seperti Latin yang sudah pupus itu. Bahasa yang sudah pupus tidak menerima kemasukan kosa kata yang baru.

Salah satu kekuatan Bahasa Inggeris adalah dari sudut etimologinya. Ia membuat pinjaman bahasa-bahasa asing dengan begitu meluas sekali; termasuklah dari Bahasa Malaysia. Bahkan bila difikirkan, kadang-kala cara bahasa tersebut memperkayakan dirinya adalah agak aneh dan melucukan.


Tiada ulasan: