17.5.15

Cerpen "Kotak Kosong"

KOTAK KOSONG
Oleh : Muzaffar bin Tawang

Dia memandang kotak itu dengan perasaan kosong. Tiada apa-apa rasa di hatinya. Betul-betul kosong. Secara fizikalnya kotak itu sama sahaja seperti kotak-kotak lain yang bersepahan di stor pejabatnya itu. Cuma sedikit berbeza kerana kotak itu dibalut rapi dengan kertas pembalut hadiah berwarna ungu. Namun, entah mengapa kotak itu seakan-akan menganggu fikirannya hari ini. Dari pukul sembilan pagi tadi, dia tidak berbuat apa-apa selain daripada merenung kotak itu. Kotak itu ternyata benar-benar mengambil sebahagian daripada masa kerjanya. Fikirannya mula menerajang peristiwa semalam.
Anak perempuannya yang masih kecil dan manja sekali memintanya membelikan segulung kertas pembalut hadiah.
“Adik mahu buat apa?”tanya dia
“Nak bungkus hadiahlah,” jawab si kecil.
“Nanti pulang ayah belikan ya dik. Tapi, jangan disepah-sepah,” pesannya kepada si kecil.
Keesokan harinya, belum pukul enam pagi lagi, si kecil sudah mengejutkannya tidur.
“Ayah, adik mahu kertas pembalut hadiah. Ayah sudah beli ke belum?”
Dia yang masih menggeliat; matanya pun belum dibuka sepenuhnya menjawab,” Nanti-nantilah dik.”
Si kecil masih tidak mahu menyerah kalah.
“Sudah masuk subuhlah ayah,”
Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga bangun untuk mendapatkan kertas pembalut hadiah yang diminta oleh si kecil.
“Jangan sepah-sepah ya dik,”
Dia menyambung kembali tidurnya setelah mendapatkan kertas pembalut hadiah yang diminta oleh si kecil.
“Arghh…sudah pukul lapan setengah.”
Dia terkocoh-kocoh bersiap untuk ke tempat kerja. Sedang dia tergesa-gesa menyiapkan diri, hatinya menjadi panas apabila melihat longgokan kertas pembalut hadiah di ruang tamu.
“Adik..!
“Adik..!
Si kecil datang dengan wajah manja.
“Tadi sudah ayah pesan jangan sepah-sepahkan kertas pembalut hadiah,” sambil tangannya memulas telinga si kecil.
Si kecil menyeringai menahan kesakitan. Tangannya terangkat-angkat semasa ayah menguatkan pulasan pada telinganya. Si kecil tidak menangis. Langsung tidak menangis.
Si ayah menghidupkan enjin keretanya dan terus melompat pergi ke pejabatnya.
Si kecil berdiri di muka pintu sambil memandang asap kereta ayahnya menjadi semakin nipis . Si kecil melambai-lambai. Si kecil tersenyum.
            Dia memandang kotak itu dalam-dalam. Matanya seakan menyelongkar setiap isi kotak. Di hujung matanya masih terlihat-lihat bagaimana seronoknya si kecil apabila dia pulang dari kerja pada sebelah petangnya.
            “Ayah balik.”
            “Ayah balik.”
Si kecil sudah lupa akan telinganya yang sakit. Matanya menyambut kepulangan ayah dengan penuh senyuman. Si kecil menarik tangan ayah ke ruang tamu. Si kecil duduk di atas paha ayah sambil bernyanyi.
            “Selamat hari jadi.”
            “Selamat hari jadi.”
            “Selamat hari jadi ayah.”
Dia bertepuk tangan sambil mencium dahi si kecil. Si kecil menggeliat lalu turun dari ribaan ayahnya dan berlari ke biliknya.
            “Ayah, adik ada hadiah untuk ayah.”
Hati ayah berbunga. Si kecil menyanyi lagi.
            “Selamat hari jadi.”
            “Selamat hari jadi.”
            “Selamat hari jadi ayah.”
            “Ini hadiah apa dik?”
            “Ayah bukalah, ini hadiah hari jadi ayah,”
Dan dia pun membuka bungkusan hadiah itu. Ternyata di dalamnya kosong. Tiada berisi apa-apa pun.
“Eh, kenapa kosong? Bukankah ayah sudah beritahu, jangan bazirkan kertas,”
“Eh, ada isilah dalam kotak.” balas si kecil.
“Mana ada apa pun?”
“Tak ayah, ada isi tu. Tadi kan, adik masukkan banyak ciuman untuk ayah.”
Dia mengambil kotak itu. Digoncang-goncangnya. Kotak itu sama seperti kotak lain. Cuma kotak itu ada ciuman si kecil. Dia mengambil kotak itu dan meletakkannya di atas meja kerjanya. Sesekali jika berkesempatan, dia membuka kotak itu untuk mengambil ciuman si kecil.
“Kalau sudah habis, nanti ayah beritahu adik ya. Nanti adik hadiahkan lagi ciuman adik untuk ayah. Adik sayang ayah.”
            Kotak kosong yang sesaat sebelumnya dianggap tidak berisi, tidak memiliki nilai apa-apa pun, tiba-tiba terisi, tiba-tiba memiliki nilai yang begitu tinggi.






Tiada ulasan: